Kita menjadi teruja bila mengikuti kisah kejayaan ahli perniagaan, ahli sukan, ahli akademik mahupun artis. Ia memberikan kita harapan, inspirasi, perasaan keyakinan, dan berkongsi kegembiraan bahawa ia boleh dilakukan. Kita tengok Warren Buffet, kita rasa kita boleh melabur dalam saham. Kita tengok Mark Zuckerberg, kita yakin buat web boleh menjana pendapatan besar. Kita tengok Lionel Messi, kita faham boleh je dapat duit banyak dengan bermain. Kita tengok Dato’ Sri Siti Nurhaliza, dan kita tengok ramai pula berpusu-pusu menjadi artis sebab yakin itulah laluan kepada kejayaan.
Tidak kurang banyaknya juga post berkenaan bagaimana nak berjaya, video tips kejayaan, buku atau e-book, seminar atau talk tentang bagaimana untuk berjaya. Malah mungkin sahaja kita telah banyak mengikuti perkara sebegini bagi menaikkan lagi semangat kita untuk berjaya.
Berita baik tentangnya adalah kita telah mula mendapat gambaran tentang kejayaan dan mempunyai impian. Ramai yang langsung tidak mempunyai cita-cita ini. Menganggap hidup adalah sekadar rutin harian biasa. Bangun tidur, pergi kerja atau belajar, makan, balik, tidur. Dan kitaran itu berulang sehingga pengakhiran hayat.
Berita kurang baiknya, kita baru tahu tentang teorinya. Bak kata pepatah Arab yang biasa kita dengar, man jadda wa jada. Teori siapa berusaha, dia berjaya. Dalam realiti, usaha inilah yang susah kita nak buat. Sebab nak berusaha, kena bermula. Inilah titik awal dalam perjalanan menuju kepada kejayaan. Bermula.
APA YANG MEMBUATKAN KITA BERMULA?
1. Sistem Kepercayaan
Apa yang kita percaya, itu yang akan menggerakkan kita. Jika kita percaya hidup ini sekadar untuk habiskan masa tak kira apa kita buat, kita memang takkan buat sesuatu yang luar dari kebiasaan. Jika kita yakin susah untuk berjaya, memang pada kebiasaannya kita takkan bermula. Kita mungkin takkan mencuba pun baik dalam karier, membaiki kewangan ataupun mewujudkan hubungan baik dengan manusia lain ataupun Tuhan.
Ada pula yang mempercayai, untuk bermula kena ada semua. Kena bersedia, kena ada peralatan lengkap, kena 100% baru boleh berjaya. Well, biasanya memang tak bermula sebab nak tunggu semua tu ada terlebih dahulu.
Pastinya, bermula tidak memerlukan semua sebab lain melainkan kita percaya untuk berjaya adalah mulakan sahaja.
2. Sistem Nilai
Apa yang kita nilai sebagai penting akan menjadi penyebab kita melakukan sesuatu. Jika kita rasa nilai kehidupan sekarang lebih bermakna daripada membuat perubahan, then pasti kita takkan berubah. Jika kita rasa keadaan diri sekarang adalah selesa berbanding menghadapi sesuatu perkara baru yang tidak tahu hujung pangkalnya, obviously kita takkan bermula. Melainkan kita berpegang bahawa keadaan akan lebih baik jika kita membuat sesuatu. Kita yakin nilai kita pada masa akan datang akan lebih baik apabila mencapai kejayaan.
Dalam kes saya, itu yang saya hadapi. Saya tahu saya nak berjaya. Saya tahu saya nak bermula. Tapi saya tersekat dalam dua (2) perkara ini. Sehinggalah saya terbaca Twitter di bawah ini (ihsan Twitter entrepreneurshipfacts) beberapa hari sebelum raya.

Jadi saya tahu satu perkara yang pasti, untuk berjaya kena BERMULA. Dan itu yang perlu kita buat!