Salah satu halangan terbesar untuk memulakan sesuatu adalah TAKUT. Takut gagal, takut penolakan, takut dicemuh – ketakutan adalah sebahagian daripada diri kita yang akan terus mengekori. Dan jika kita terus membiarkannya, ketakutan boleh membuat kita terkunci dan terpenjara pada keadaan sedia ada. Ia menghalang kita daripada mencapai potensi sebenar diri.
MEMAHAMI CARA MINDA BERFUNGSI MENTAFSIR KETAKUTAN
Sebelum itu, satu perkara yang harus difahami adalah mengapa kita takut? Ada kata kata akronim daripada Bahasa Inggeris yang menyebutkan bahawa:
“FEAR – False Evidence Appearing Real”
Bukti palsu menampakkan ia seolah-olah benar. Ia nampak benar akibat daripada pengalaman lalu samada diri sendiri atau orang lain. Jadi, minda kita telah dilatih “jika buat ini maka akan berlaku ini”. Output daripada tindakan tersebut adalah ‘bukti palsu’ kerana ia sebenarnya belum berlaku, tetapi minda kita telah menangkap gambaran tersebut hasil daripada kejadian-kejadian lepas. Ia menjadi lebih ‘benar’ apabila perkara ini berlaku berulang-ulang kali. Ini adalah cara minda kita berfungsi.
Takut memberitahu anda banyak tentang diri anda sendiri. Ia menunjukkan kepada anda apa yang berharga pada penilaian anda, supaya anda mempertahankannya. Ia juga menunjukkan kualiti yang perlu anda perkuatkan, memberitahu bahawa anda mungkin terlalu selesa dan sudah tiba waktunya mempertingkatkan diri anda ke peringkat seterusnya. Selain itu, ia mampu membolehkan anda mengetahui betapa pentingnya matlamat yang sedang anda kejar. Atau, mungkin ia memberitahu bahawa anda telah mengabaikan potensi anda dan perlu mengubah fokus. Tidak kira apa bentuk ketakutan tersebut, ia memberitahu anda sesuatu yang boleh anda gunakan untuk faedah anda.

Di dalam fikiran anda, jika anda tidak mempunyai pilihan selain untuk berjaya – jika mencapai matlamat anda adalah kepentingan mutlak – maka tidak ada yang lebih penting lagi. Pengorbanan tidak akan menjadi persoalan. Anda akan melakukan apa sahaja untuk mencapainya.
Ini adalah cara bijak bagaimana orang yang paling berjaya belajar untuk mengatasi ketakutan dalam kehidupan mereka. Mereka tidak membenarkan ketakutan untuk menguasai dan mengeluarkan mereka dari impian mereka. Mereka tahu bahawa ketakutan sebenar adalah harga yang mereka akan bayar jika mereka tidak memberikan matlamat dan visi mereka keseluruhan tenaga dan tumpuan mereka. Mereka tahu ketakutan sebenar adalah hidup dengan kehidupan sedia ada atau berkompromi dengan apa yang mereka idamkan.
Bagaimanakah anda mengamalkan pemikiran dan perspektif itu? Di sini saya kongsikan 5 tips untuk menukarkan perasaan takut kepada sesuatu yang membawa kelebihan kepada anda:
1. MENENTUKAN JIKA MATLAMAT ANDA ADALAH SUATU KEMESTIAN
Tanya diri anda apa harga yang perlu dibayar jika anda tidak membuat keputusan untuk mengatasi ketakutan. Ini akan membantu anda mengetahui sama ada mencapai matlamat tertentu adalah “mesti” dan bukan hanya “sepatutnya”.
Begini, cuba bayangkan diri anda ketika di penghujung usia, contohnya 70 tahun. Anda duduk dan refleksi semula bagaimana anda menjalani kehidupan anda. Lihat semula hidup anda seolah-olah anda tidak mencapai matlamat anda selama hidup tersebut. Bagaimana ini mempengaruhi perjalanan hidup anda? Apakah penyesalan yang anda rasa? Apa yang anda ingin buat lebih banyak dengan masa itu? Apa yang anda ingin awak cuba? Adakah kesedihan dan penyesalan? Adakah anda bertanya, “Bagaimana jika …?” Dengan cara ini, anda boleh menggunakan motivasi ketakutan untuk mendorong anda ke matlamat utama anda.
2. MENGENALPASTI APAKAH ALASAN YANG BIASA DIBUAT
Perkara yang paling mudah adalah mengetepikan harapan, keinginan dan impian dengan membuat alasan: saya tidak mempunyai wang atau sumber, saya tidak bersedia, saya terlalu sibuk, saya mempunyai keluarga. Dan kita mula bersembunyi di sebalik alasan itu. Kerana alasan ini sangat rasional. Sangat selamat dan menyelesakan. Tetapi anda harus ingat satu perkara; ia membawa anda balik ke tempat yang sama.
Oleh itu, ingatlah pada kali seterusnya alasan bermain di fikiran anda. Adakah anda benar-benar berada di kedudukan di mana anda mahukan dalam kehidupan? Atau adakah anda berada dalam belenggu ketakutan dan memilih untuk menjadi selesa daripada menghadapi cabaran? Dengan lebih menyedari kecenderungan otak anda untuk menggunakan alasan supaya anda tidak perlu ‘bertanggungjawab’, semakin baik anda akan menolaknya.
3. MENGAMALKAN MINDSET MEMBANGUN & BERTUMBUH
Manusia sering menyerah diri terhadap apa yang mereka mahukan kerana percaya bahawa mencapai matlamat adalah sesuatu yang di luar kebolehan mereka. Mereka tidak pernah belajar bagaimana untuk mengatasi ketakutan.
Mereka terus menjalani kehidupan sedia ada, memikirkan bahawa matlamat mereka tidak boleh dicapai dan tidak patut dicuba sama sekali.
Tetapi orang yang paling berjaya memupuk minda bertumbuh. Mereka tidak menganggap kebolehan mereka sebagai sesuatu yang tidak boleh diubah, sebaliknya fleksibel. Dan apabila berhadapan dengan perkara yang membuatkan mereka terpaksa berundur beberapa tapak, mereka berusaha lebih keras. Mereka terus mencari penyelesaian.
Mereka tidak berputus asa apabila perkara menjadi mencabar. Sebaliknya, mereka mencari strategi baru untuk menyesuaikan diri dalam mencapai matlamat mereka.
4. KEPERITAN MEMBERIKAN GAMBARAN YANG BERHARGA
Tiada seorang pun yang berjaya di dunia ini tanpa perlu mengatasi halangan besar. Pengalaman yang paling menyakitkan dapat membantu memperhaluskan apa yang anda inginkan dan apa yang anda tidak inginkan dalam hidup. Kegagalan, kekecewaan, jalan mati – ini semua boleh digunakan sebagai cara untuk refleksi dan berkata, “Ini tidak berfungsi. Itu tidak berhasil. Jadi apa yang saya mahukan?”
Ingat, kita dibina untuk menyesuaikan diri. Manfaatkan kekuatan ini dan jadikan setiap pengalaman sebagai alat untuk membantu anda mengetahui lebih lanjut mengenai diri anda dan apa yang anda perlu ada dalam hidup. Apabila anda menghadapi pengalaman yang menyakitkan, gambarkan seseorang yang anda kagumi yang menghadapi masalah – mereka tidak akan mencapai kejayaan yang mereka miliki sekarang tanpa mengatasi ketakutan.
5. TAHU BAHAWA KEGAGALAN TIDAK DAPAT DIELAKKAN
Anda akan gagal. Itu adalah sebahagian daripada proses. Tetapi kegagalan memberikan gambaran dan secara semulajadi membetulkan cara yang salah untuk menghadapi masalah. Tidak ada guru yang memberi kesan mendalam sepertimana kegagalan. Tetapi jika anda menggunakan pengalaman ini sebagai maklumat yang unik, dan menyesuaikan strategi anda dan pendekatan pada masa lain, anda akan mempunyai kelebihan yang tidak ada pada orang lain.

Sekarang, anda perlu memutuskan bahawa impian anda lebih penting daripada ketakutan terhadap kegagalan. Buat keputusan hari ini untuk mengatasi ketakutan dan hidup dengan FEAR yang baru:
“FEAR : Face Everything and Rise!”