Anda suka semak slip gaji menjelang akhir bulan? Ini mungkin tanda anda mengalami masalah menguruskan duit pada setiap bulan sebab akaun bank dah tenat bila nak sampai akhir bulan. Mungkin. Sebab pada kebiasaannya mereka yang tidak mempunyai masalah gaji ini tidak sempat pun habis duit dalam akaun dan gaji seterusnya telahpun masuk.
Ya, mungkin kita mengalami rasa rendah diri bila berhadapan saat-saat ini. Tapi bukan anda je yang mengalami perkara begini. Ramai lagi yang menghadapi masalah sama.
TABUNG PENGURUSAN DUIT
Bagi mereka yang tiada idea bagaimana nak uruskan duit, sebenarnya ada cara untuk menguruskan duit dengan MUDAH dikenali sebagai kaedah 6 Jars Money Management (Tabung Pengurusan Duit). Konsep idea ini dipopularkan oleh T. Harv Eker, seorang penulis dan speaker tentang kekayaan dan motivasi. Objektifnya adalah untuk kita menguruskan duit yang kita dapat awal-awal SEBELUM dibelanjakan. Ia dibahagikan kepada beberapa perkara penting iaitu keperluan, kehendak, simpanan, pelaburan, kebajikan, dan kecemasan mengikut peratusan yang sesuai. Cuma untuk post ini saya tidak bercadang untuk bercerita tentang 6 Jars Money Management. Post ini adalah untuk memberikan panduan kepada anda bagaimana untuk membuat pembahagian perbelanjaan mengikut gaji yang anda terima pada setiap bulan.
KENAPA KITA SERING SESAK DI AKHIR BULAN?
Berdasarkan objektif pengurusan duit tadi, kita dapat lihat antara sebab poket kita mudah bocor pada akhir bulan adalah kegagalan kita meletakkan duit kita di tempat yang sepatutnya. Contoh mudah : perbelanjaan untuk GAYA HIDUP seperti KERETA & MAKAN LUAR melebihi daripada jumlah sepatutnya boleh dibelanjakan.

Lihat je infografik data daripada AKPK di bawah ini (Ihsan : Infografik Bernama). Isu terbesar orang dewasa bekerja di Malaysia adalah TIDAK DAPAT MEMBUAT SEBARANG SIMPANAN dan PERLU MEMINJAM UNTUK MEMBELI BARANGAN.
JADI BERAPA SEPATUTNYA JUMLAH PERBELANJAAN ANDA SETIAP BULAN?
Katakan gaji anda sebulan RM2,000. Berapa dan apa perbelanjaan yang sebenarnya anda perlu/boleh buat?
1. Rumah
Gaji tahunan = RM2,000 × 12 = RM24,000. Harga rumah yang boleh dibeli adalah sebanyak 5 kali ganda gaji tahunan. Maknanya, RM24,000 × 5 = RM120,000. Jadi, maksimum bayaran bulanan yang boleh secara mudahnya adalah RM120,000 / 200 = RM600. Jika anda menyewa, harga sewa maksimum juga adalah RM600 sahaja.
2. Kereta
Berapa pula harga kereta yang sesuai dibeli? Bagi kereta adalah sekali ganda jumlah gaji tahunan. Iaitu, RM24,000 × 1 = RM24,000. Jika diperhatikan, hanya kereta second hand sahaja sepatutnya dipilih. Tiada kereta baru berharga RM24,000! Berapa pula installment bulanan? RM24,000 / 100 = RM240. Namun pada kebiasaannya, sukar mencari bank yang boleh memberi installment bulanan selama 9 tahun bagi kereta terpakai. Jika anda belum mempunyai kereta, adalah dicadangkan untuk gunakan je motor atau kenderaan awam. Might sounds pathetic and unreasonable tapi duit tersebut nanti boleh dimasukkan ke dalam simpanan jangka panjang dan beli kereta kemudian menggunakan duit simpanan ini.
3. Belanja harian
Belanja harian ini adalah semua keperluan harian anda seperti barang basah, barang kering, belanja anak-anak dan diri. Walaupun ia merupakan belanja harian, sepatutnya anda perlu memperuntukkan pada jumlah bulanan bagi mengawal perbelanjaan anda dengan betul. Gunakan 20% daripada gaji bulanan anda untuk tujuan ini. Bagi gaji RM2,000, sebanyak RM400 adalah bagi tujuan belanja harian.
4. Bil utiliti
Utiliti meliputi elektrik, air, telefon, dan internet. Dicadangkan anda meletakkan 5% daripada gaji bulanan. Bermakna anda hanya boleh membelanjakan sebanyak RM100 daripada keseluruhan gaji anda. Jadi, berbelanja dengan berhemah terutama membabitkan perkara bukan keperluan seperti ASTRO atau internet berkapasiti tinggi.
5. Insurans
Bagaimana pula dengan insurans? Matematik mudah, 5 hingga 10 kali ganda pendapatan tahunan. Mudahnya boleh ambil polisi perlindungan = RM24,000 × 10 = RM240,000 maksimum. Yang ni berapa bayaran bulanan tu saya kurang mahir. Anda boleh cek dengan agen takaful/insurans untuk dapatkan amaun premium setiap bulan.
6. Simpanan kecemasan
Berapa simpanan kecemasan kena ada? In case kena buang kerja atau sakit. Adalah disyorkan untuk mempunyai simpanan antara 3 hingga 6 bulan gaji bulanan supaya boleh survive dalam tempoh itu. Kiraan: RM2,000 × 6 = RM12,000. Simpan RM100 per bulan. Jadi amaun itu akan dapat dalam tempoh 10 tahun. Lagi banyak anda menyimpan, lagi cepat duit tersebut terkumpul dan menjadi jaring kecemasan untuk anda.
7. Simpanan & Perbelanjaan Jangka Panjang
Simpanan dan perbelanjaan jangka panjang ini bukan digunakan untuk kecemasan. Anda perlu simpan sekurang-kurangnya 5-10% dari gaji. Bahagian ini digunakan bagi tujuan seperti belian barang-barang perkakasan, pakaian, peralatan rumah, ataupun perancangan seperti percutian, belanja perkahwinan, insurans kereta dan sebagainya. Jadi, daripada gaji RM2,000 simpanlah minimum RM200 sebulan.
8. Belanja hangus
Ya, kita juga mahu berbelanja untuk reward diri kita setelah penat bekerja sebulan. Antaranya untuk menonton wayang dan makan luar. Anda boleh mengambil 5% daripada gaji anda iaitu RM200 bagi tujuan ini. Lebih kuat anda menahan kemahuan, lebih rendah anda mampu peruntukkan untuk perkara ini.
9. Kebajikan
Walaupun ini bahagian terakhir daripada gaji, ini adalah perkara penting yang perlu dilakukan oleh anda. 5% daripada RM2,000 iaitu RM100 boleh digunakan untuk tujuan ini. Ia meliputi pemberian kepada ibu bapa, sedekah atau lain-lain pemberian kebajikan. Mudah-mudahan dengan perbelanjaan ke tempat ini akan menyebabkan gaji kita lebih berkat dan bertambah.
Ini hanyalah panduan untuk anda menguruskan gaji yang anda terima setiap bulan. Anda boleh mengubah mengikut citarasa masing-masing. Pada akhirnya apa yang kita inginkan ialah duit itu disalurkan ke tempat yang betul dan mencukupi bagi tujuan perbelanjaan kita.
Selamat berjaya.