6 JARS MONEY MANAGEMENT

Sebelum ini saya ada berkongsi berkenaan cara pengurusan duit dengan baik. Saya juga ada menyebut tentang 6 Jars Money Management yang diperkenalkan oleh T. Harv Eker, seorang speaker dan juga penulis motivasi terkenal. Mungkin ramai yang tidak mengetahui apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 6JMM ni. Jadi pada post kali ini saya akan berkongsi tentang kaedah ini.

Sepertimana namanya, begitulah isinya. Duit atau gaji anda dibahagikan kepada 6 tabung mengikut peratusan sebegini :

 

1. Monthly expenses/Necessities (Perbelanjaan Bulanan – 55%)

Ini merupakan bahagian paling besar di mana semua perbelanjaan bulanan seperti barangan dapur (kering dan basah), bil-bil, pinjaman rumah, kereta, belanja harian keluarga adalah termasuk dalam kategori ini.

 

2. Lifestyle/Luxury (Gaya Hidup – 10%)

Bahagian di mana anda menggunakan ia sebagai perbelanjaan gaya hidup seperti menonton wayang, makan di kafe, mengumpul barangan koleksi seperti figura atau action model. Bahagian ini adalah sebagai reward kepada diri setelah bersusah payah mendapatkan duit atau bekerja selama sebulan. Ia bahagian yang penting supaya tidak bercampur dengan Necessities. Katakanlah amaun tersebut tidak mencukupi, bahagian ini boleh dikumpulkan dan dibelanjakan pada bulan akan datang.

 

3. Financial Freedom (Kebebasan Kewangan – 10%)

Salah satu tujuan pengurusan duit ini adalah untuk mencapai kebebasan kewangan. Jadi, sebahagian daripada duit ini perlu diletakkan supaya ‘bekerja’ bagi diri anda setelah anda bekerja mendapatkan duit. Tabung ini digunakan untuk anda melabur di dalam instrumen pelaburan sebagai contoh ASB, unit amanah saham, saham, emas atau apa sahaja bentuk pelaburan jangka panjang.

 

4. Education & Self Improvement (Pembelajaran & Pembangunan Diri – 10%)

Satu lagi elemen penting dalam pengurusan duit ini adalah elemen ilmu dan pembangunan diri. Tabung ini merangkumi perbelanjaan kepada material seperti buku, seminar atau kelas-kelas yang akan melengkapkan dan menjadikan diri lebih baik. Termasuk juga di dalam ini ialah bentuk-bentuk kursus ilmu teknikal atau pengkhususan yang akan membantu meningkatkan nilai diri anda.

 

5. Long Term Saving for Spending (Simpanan Jangka Panjang untuk Perbelanjaan – 10%)

Terdapat sedikit perbezaan antara tabung ini dengan tabung Financial Freedom. Tabung ini merupakan simpanan dalam tempoh sederhana bagi tujuan untuk dibelanjakan kemudian. Sebagai contoh, jika kita merancang untuk pergi melancong ke Eropah dalam satu tempoh jangka masa yang agak panjang. Selain itu, perbelanjaan bagi tujuan kecemasan juga adalah termasuk dalam tabung ini. Bukan diambil daripada tabung lain! Termasuk juga dalam kategori ini ialah deposit untuk pembelian besar seperti kereta atau rumah, dan insurans.

 

6. Give & Good Deeds (Kebajikan – 5%)

Tabung ini mungkin paling kecil. Tetapi ia adalah bahagian yang paling penting. Dan perlu dilakukan sebaik sahaja anda mendapat gaji atau duit. Di sinilah letaknya sumbangan anda untuk kebajikan, zakat, sedekah kepada mereka yang memerlukan bantuan, dan juga pastinya sumbangan untuk ibu bapa anda. Perlu diingat dalam bahagian anda ada bahagian orang lain. Dan pastinya hidup akan lebih gembira apabila memberi.

 

Apapun, ini bukanlah satu perkara yang WAJIB dilakukan. Tetapi, jika anda serius dalam membentuk tabiat menguruskan wang dengan baik; ini adalah satu kaedah yang sangat membantu anda. Matlamat akhirnya bukanlah pada jumlah amaun yang akan anda ada, tetapi disiplin yang anda bentuk untuk diri. Bila perkara ini mudah untuk anda, saya yakin perjalanan menuju kebebasan kewangan juga menjadi lebih mudah untuk dicapai.

Berikut adalah rumusan kepada 6 Jars Money Management (kredit kepada T. Harv Eker daripada https://www.harveker.com/blog/6-step-money-managing-system/)