BAGAIMANA BERSYUKUR MAMPU MENGUBAH KEHIDUPAN ANDA

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan perlakuan seorang makcik yang mempersoal nilai duit raya yang diterima oleh anaknya kerana status pemberinya yang disangkanya kaya tetapi kedekut. Tahun lepas, saya difahamkan ada pula kes yang membuang sampul raya kerana budak yang menerimanya menyangka hanya mendapat duit syiling sedangkan di dalamnya ada duit sebanyak RM10.20. Saya yakin kita berjumpa dengan banyak lagi kisah sebegini.

Apa tanggapan kita? Ia menunjukkan sikap rasa tidak mencukupi, tidak pernah puas, dan tamakkan sesuatu. Dan kita hidup hari ini dalam dunia yang penuh dengan sikap ini. Ketidakseimbangan, kebuluran, jenayah, perebutan harta dan kuasa adalah manifestasi daripada sikap ekstrem ini.

 

MANUSIA MEMPUNYAI KEINGINAN

Sebelum kita pergi lebih jauh, satu perkara yang perlu kita lihat adalah sifat manusia itu mempunyai KEINGINAN. Sentiasa mahukan lebih daripada apa yang ada. Ini menjadikan manusia dinamik, melakukan perubahan, mencari penyelesaian, dan bergerak maju ke hadapan. Ini yang membezakan manusia dengan haiwan, dan manusia dengan malaikat (dalam ajaran Islam). Secara asasnya, sifat ini adalah baik. Manusia yang tidak mempunyai keinginan adalah manusia yang mati. Sebagai contoh, badan memerlukan tenaga untuk terus bergerak. Dan tenaga diperolehi daripada makanan. kita boleh lihat orang yang tidak mempunyai keinginan makan lebih cepat susut badannya dan akhirnya menemui kematian.

 

BAGAIMANA UNTUK BERSYUKUR?

Fikirkan begini.  Satu situasi yang pernah dilalui di mana anda telah dapat sesuatu yang sangat-sangat diperlukan tapi bukan atas kemampuan sendiri. Contohnya; lulus persembahan viva tesis sarjana di hadapan panel yang paling tegas atau diterima bekerja selepas hampir 5 kali percubaan ataupun selesai pembedahan segera ke atas ibu anda yang mempunyai kebarangkalian 20% berjaya. Apa perasaan anda sebaik sahaja keadaan itu berlaku? Tentu sangat BERSYUKUR.

Ambil masa 30 saat dan panjangkan rasa bersyukur tersebut. Rasa bersyukur ini akan membuatkan kita rendah diri, dan memandang orang lain dengan penuh perasaan kasih sayang. Kerana kita tahu bukan semua perkara mampu dikawal oleh diri kita.

Kemudian, ingat kembali beberapa detik sebelum melepasi perkara tersebut. Pasti rasa sangat tak berdaya, sedih, lemah, tidak mempunyai harapan. Pada ketika itu kita mungkin mengharapkan orang lain untuk membantu memudahkan kita, atau berdoa habisan dengan rendah hati agar Tuhan memperkenankan doa kita atau mungkin hampir sahaja berserah kepada keadaan.

Cuba ingat kembali siapa yang membantu pada waktu itu? Boleh jadi orang itu langsung tidak mempunyai kepentingan terhadap kita yang memerlukan mereka membantu kita. Atau Tuhan yang tidak perlukan apa-apa daripada kita. Mereka memberi tanpa mengharapkan pembalasan. Sekarang, bayangkan jika mereka semua itu tiada? Anda mungkin bukan anda yang sekarang.

 

MANIFESTASI BERSYUKUR ADALAH MEMBERI

Memamahi keadaan tadi akan menunjukkan kita satu perkara; kita perlu MEMBERI. Jika lirik lagu Scorpion menyebut, “What you give you get back”, saya pasti sebelum lirik ini ada satu perkataan yang lebih keramat yang perlu dibuat terlebih dahulu; “What you get, you give back”. Apa yang kita ada, kita mesti beri semula! Baru lengkap pusingan memberi dan menerima dalam kehidupan.

 

MEMBERI SEKARANG. RAMAI MEMERLUKANNYA.

Sepertimana kita ketika di saat sangat memerlukan, begitulah ramai insan di luar sana dalam keadaan menunggu pemberian daripada kita. Memberi tak semestinya dalam bentuk duit. Boleh juga tenaga dan masa kita. Menyumbang juga tak perlu menunggu kita kaya atau lapang atau kuat sempurna tubuh badan.

Banyak tempat atau kaedah untuk menyumbang. Contohnya usaha-usaha yang dijalankan oleh pelbagai NGO dan sukarelawan seperti kelas pendidikan percuma, skuad pembersihan dan lain-lain. Percayalah, hidup kita akan berubah. Dan dunia sekeliling kita juga akan berubah.

Apa yang kita perlu hanya ingat semula situasi di atas.