JIka ditanya siapa yang taknak hidup bahagia? Ini adalah salah satu matlamat besar bagi kebanyakan kita, walaupun definisi hidup bahagia itu mungkin berbeza ke atas setiap individu. Hebatnya matlamat kita ini sehingga menyebabkan kita sanggup bersusah payah dan buat apa sahaja untuk mencapainya. Itulah kuasa MATLAMAT. Cuma bezanya, kerana kita dah biasa dengan kalimah hidup bahagia sehingga kita tidak sedar bahawa matlamat ini telahpun kita set dalam minda separa sedar secara automatik tanpa perlu bersusah payah kita tulis di atas kertas bahawa “Aku ingin bahagia”, “Aku inginkan kebahagiaan”.
KENAPA MATLAMAT SERING TAK TERCAPAI?
Tapi, dalam banyak keadaan, kita selalu gagal mencapai matlamat tersebut. Persoalannya, mengapa? Cuba semak di bawah.
1. Terlalu LALI dengan perkataan matlamat
Disebabkan telah biasa dengan perkataan matlamat, kita melihat matlamat itu sendiri sebagai suatu perkara yang remeh. Ini juga dikenali Law of Familiarity. Dengar perkataan matlamat itu sendiri tidak lagi membuatkan kita benar-benar teruja. Bila ada bengkel atau talk tentang penetapan matlamat, kita dah tahu bahawa kita perlu tuliskan matlamat itu. Kita tahu ia penting, tapi kita tak menjiwai kepentingan matlamat itu sendiri. Kita tidak serius melakukannya.
Sebagai contoh, setiap awal tahun kita semua pasti melalui sindrom tahun baru. Kita menetapkan matlamat seperti, “Aku nak buat ni tahun ini”. “Aku nak lebih banyak duit pada tahun ini”. “Syarikat kita akan menetapkan beberapa matlamat untuk dicapai tahun ini”.
Tapi berapa ramai daripada kita yang benar-benar faham kepentingan dan mahu mencapai matlamat tersebut?
2. Tidak KONSISTEN mengejar matlamat
Kita juga biasa dengar pada setiap akhir tahun yang mana masing-masing tidak berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Daripada 5 matlamat, mungkin tiada satu pun terlaksana. Jika disemak, puncanya mudah. Tidak benar-benar konsisten melaksanakan perkara yang mencapai kepada matlamat tersebut. Kita melaksanakannya semasa senang, semasa terluang, semasa berpeluang. Jika tiada kesempatan tersebut, kita meletakkannya di tepi.
Yang lebih teruk daripada itu, matlamat hanya dibuat pada awal tahun. Kemudian, langsung tidak diperhatikan sepanjang tahun. Sedar-sedar pada akhir tahun kita mengeluh, “Alamak, aku tak dapat capai matlamat tahun ni”. Dan pada awal tahun seterusnya, ia berulang.
3. Tidak mempunyai matlamat yang JELAS
Semakin jelas huraian matlamat, semakin jelas cara untuk mencapainya. Kebanyakan matlamat bersifat terlalu umum. Menyebabkan kita tidak mempunyai halatuju yang jelas tentang bagaimana cara untuk mencapai matlamat. Sebagai contoh; “Saya nak kurus”, “Saya nak berjaya”, “Saya nak bahagiakan ibubapa saya”. Matlamat sebegini biasanya susah dicapai kerana kita tidak mempunyai satu cara yang benar boleh diikuti dan tiada indikator untuk diukur keberhasilannya.
4. Matlamat yang ALA KADAR
Ada sesetengah daripada kita yang mempunyai matlamat tapi macam tajuk lagu Sekadar Di Pinggiran. Matlamat yang tidak benar-benar membakar semangat kita untuk berjuang. Contohnya; nak dapat duit poket, nak bayar bil bulanan, nak pass subjek ujian. Masalah dengan matlamat ini adalah, ia tidak memberikan inspirasi yang cukup. Ia tidak mempunyai tujuan yang kuat. Ia tidak mampu segera membangunkan kita di awal pagi. Ia tidak membuatkan kita terfikir siang dan malam.

APAKAH KUASA HEBAT DI SEBALIK MATLAMAT?
Kenapa matlamat sangat penting? Dengan adanya matlamat, kita terlebih dahulu telah mencipta masa depan kita pada waktu sekarang. Kita yang merekabentuk ‘takdir’ kita. Kita membentuk hidup kita mengikut apa yang kita inginkan. Matlamat juga mampu menghasilkan kekuatan dalaman untuk membangunkan dan mengembangkan kejayaan diri kita. Dengan syarat matlamat kita benar-benar mampu membuatkan kita teruja untuk mengeluarkan kemampuan diri dan mengubah diri kita.
Kita boleh memilik semua teknik hebat bagi membentuk diri kita untuk berjaya; tapi jika kita tidak mengetahui kenapa kita melakukannya, dan kita tidak mempunyai halatuju yang jelas, maka kita tidak dapat mengeluarkan potensi keseluruhan diri. Apabila kita mempunyai why yang jitu dan padu, ia akan menjadi sebab yang kuat untuk menggerakkan kita. Walaupun pada awalnya kita tiada idea bagaimana untuk melakukannya. Reasons come first, answers come later. Dengan sebab yang kuat, kita akan menjumpai jalan penyelesaian kepada apa matlamat yang kita letakkan.
JADI, BAGAIMANA CARA UNTUK MENJAYAKAN MATLAMAT ANDA?
1. Menetapkan matlamat yang SPESIFIK dan KUAT
Pastinya perkara pertama kita perlu lakukan adalah menetapkan matlamat. Matlamat yang paling bagus adalah matlamat yang mempunyai why yang sangat kuat. Sehingga setiap hari kita terfikir tentangnya. Dan setiap hari ia mendorong kita bangun awal untuk melakukannya. Matlamat juga haruslah jelas. Tak mengapa jika matlamat perlu ditulis sepanjang sebuah karangan. Lebih jelas apa yang hendak kita capai, lebih mudah kita mencari jalan untuk mencapainya. Ia juga akan membantu kita untuk mengukur sejauh mana kemajuan yang telah kita capai.
2. KONSISTEN mengejar matlamat yang ditetapkan
Sepertimana disebutkan pada awal artikel tadi, kita tidak mahu terperangkap dengan sindrom awal tahun. Kita boleh mempunyai matlamat yang hebat tapi jika ia tidak digerakkan secara berterusan, akhirnya semangat kita akan lemah. Yang terbaik, matlamat dilihat dan dibuat setiap hari. Bukan pada waktu senang atau senggang sahaja. Secara tidak langsung, minda dan tubuh kita akan terlatih untuk terus berbuat sehingga matlamat tercapai.
3. REVIEW matlamat yang ditetapkan mengikut keadaan
Matlamat juga perlu direview mengikut kesesuaian. Kadangkala kita mungkin tersekat di satu tempat. Mungkin juga matlamat tersebut tidak lagi sesuai atau mungkin sahaja boleh ditambahbaik. Matlamat tidak semestinya bersifat rigid. Ia perlu fleksibel. Ia akan membantu kita lebih fokus untuk mencapai matlamat yang telah kita tetapkan. Lebih fokus kita kepada matlamat, lebih senang kita akan lihat ruang-ruang untuk mencapai matlamat tersebut.

BAGAIMANA JIKA PADA AKHIRNYA, KITA TETAP TIDAK DAPAT MENCAPAI MATLAMAT KITA?
Ramai di antara kita yang menetapkan matlamat untuk mendapatkan sesuatu. Tetapi, ingat satu asas yang penting. Tujuan matlamat itu sebenarnya jauh lebih penting daripada apakah hasil yang kita dapat. Tujuan sebenar matlamat bukanlah untuk mendapatkan benda, tetapi apakah bentuk manusia yang akan kita jadi pada akhirnya.
Kerana sifat manusia itu tidak pernah puas dengan apa yang dia dapat. Segala hasil yang kita peroleh, yang kita kumpul takkan membuatkan kita gembira sepanjang masa. Akan tiba satu waktu kita mula akan merasa bosan, kosong dan pencapaian kita seolah-olah tidak bermakna. Tentu anda pernah melihat kisah sebegini kan? Artis yang kaya dan nampak gembira akhirnya membunuh diri, perkahwinan pelakon berakhir dengan perceraian dan sebagainya. Sehingga kita tertanya-tanya apa lagi yang tidak cukup? Betul tak?
Mengejar kebendaan daripada matlamat itu tidak salah. Memang itulah sebahagian daripada tujuan menetapkan matlamat. Tetapi jika kita terlalu fokus kepada benda atau hasil tersebut, kita akhirnya akan terperangkap. Adakah anda perasan berapa ramai yang sewaktu mengejar matlamat akhirnya mengorbankan nilai integriti dalam diri? Ahli perniagaan, ahli politik, termasuk ahli agama yang selama ini memperjuangkan nilai-nilai kebaikan, dan bercita-cita ingin menegakkan kebaikan; pada akhirnya mengetepikan pegangan hanya kerana ingin terlalu fokus mencapai sesuatu yang berbentuk kebendaan.
Jadi, sekiranya pada akhirnya kita tetap tidak berjaya mencapai matlamat tersebut, kita bukanlah gagal. Lihat dari satu sudut di mana apakah perubahan yang telah berlaku kepada diri kita. Dan iktiraf setiap perubahan yang lebih baik walaupun kecil. Sebagai contoh: berat anda turun beberapa kilogram, orang sekeliling lebih mengenali dan menyukai anda, anda hidup lebih gembira, simpanan anda lebih banyak daripada sebelum ini. Dan banyak lagi. Itu adalah saat-saat yang anda akan ingat di mana kepuasan pada ketika itu yang mengatasi segalanya. Itulah kuasa matlamat. Menjadikan anda lebih baik daripada sebelumnya.
Sekarang pastikan anda mempunyai matlamat!