PELABURAN EMAS NAIK SENTIASA?

Biasa dengar orang kata “melabur dalam emas, harga emas sentiasa naik”. Sebenarnya perkara ini tidak tepat. Tiada satu benda dalam dunia ini yang naik sahaja dan takkan turun-turun. Pelaburan emas tiada beza dengan instrumen pelaburan lain baik pelaburan berbentuk komoditi, unit amanah, saham, hartanah, forex dan lain-lain. Terdedah kepada turun dan naik mengikut harga pasaran dunia.

 

NAK BELI EMAS LA, HARGA TAKKAN TURUN

Pagi ini isteri saya cakap pada saya, “Nak beli emas la, harga takkan turun dah.” Saya terus balas, “Tak semestinya.” Kemudian, saya terus buka graf harga emas dunia dan tunjuk pada dia. Saya pilih 1-day price untuk tunjukkan pergerakan harga harian.

Daripada graf ini kita boleh nampak bahawa harga emas juga ada turun naiknya. Bukan naik je sentiasa. Kalau naik sentiasa, senang la semua orang melabur dalam emas je. Tak perlu fikir dah nak letak duit di mana. Inilah antara salah satu poin yang akan digunakan oleh mereka yang terlibat dalam pelaburan emas.

Kemudian, saya cuba cari beberapa artikel mengenai pelaburan emas untuk mendapatkan kepastian. Ya, banyak artikel yang akan menggunakan poin ini lebih-lebih lagi sewaktu kenaikan harga emas yang agak baik sekitar tahun 2000 sehingga tahun 2012.

Pelabur emas akan mengatakan harga emas akan sentiasa naik dan lebih menarik lagi, akan menggunakan hadith mengatakan emas dan perak (dinar dan dirham) adalah simpanan yang baik. Sama seperti pelabur hartanah yang akan mengatakan bahawa harga tanah akan sentiasa naik kerana tanah semakin susah untuk didapati dan dimiliki. Asasnya, ia TIDAK BENAR. Tetapi saya tidak menafikan bila dilihat dalam konteks pelaburan jangka panjang, ia memang benar.

 

APA BERLAKU PASCA 2012?

Saya pilih pula graf untuk 10-years price. Apa yang saya dapati, sekitar tahun 2012 sehingga 2015, berlaku penurunan harga emas yang agak ketara. Daripada RM5500/oz turun sehingga RM4000/oz. Penurunan RM1500/oz adalah satu amaun yang besar. Bayangkan apa terjadi kepada mereka yang melabur emas pada tahun 2012 dan melihat nilai harga emas pada tahun 2015?! Sudah tentu merasa terkejut dan tertipu. Dan jika diperhatikan lagi, sehingga hari ini (tahun 2019), harga emas baru recover kepada harga RM5500/oz tu!

APA SEBENARNYA PERLU DIFAHAMI TENTANG PELABURAN?

Pelaburan adalah sebahagian daripada ekonomi. Dan antara asas ekonomi yang perlu difahami adalah konsep penawaran dan permintaan (supply & demand). Harga sesuatu produk atau servis bergantung kepada adanya dua (2) perkara ini. Bila demand tinggi dan supply rendah, harga akan menaik. Bila demand turun dan supply banyak, harga akan menurun.

Apa pula perkara yang perlu difahami dalam pelaburan emas?

1. Pelaburan, simpanan dan trading jual beli adalah berbeza. Tentukan setting bagi portfolio pelaburan. Jika nak untung/kaya cepat, pelaburan emas bukanlah tempatnya. Trading emas adalah sukar dilakukan, sama seperti trading saham. Ia memerlukan fokus yang tinggi untuk melihat turun naik harga setiap hari dan nilai pelaburan yang besar bagi memastikan untung yang baik.

2. “Emas dan perak (dinar dan dirham) adalah simpanan yang baik” : jika ini pegangan kita, maka perlu kita set dalam diri kita bahawa kita nak menyimpan. Dan tujuan menyimpan pada kebiasaannya adalah untuk digunakan pada waktu memerlukan. Yang dimaksudkan dengan “simpanan yang baik” ini hanyalah kerana nilai emas tidak terdedah kepada inflasi berbanding dengan duit fiat (fiat money). Jadi, daripada menyimpan fiat money, semamangnya lebih baik tukar kepada emas sebagai simpanan.

3. “Saya nak melabur dalam emas” : jika hasrat kita adalah untuk melabur, jangka masa yang perlu ditetapkan untuk pelaburan emas perlulah panjang. Bukan sebulan atau setahun dua. Paling baik mungkin sahaja 10 tahun ke atas. Semua pelaburan yang baik adalah pelaburan jangka panjang. Pelaburan emas pada untuk tempoh 20 tahun menunjukkan kemampuan pulangan sehingga 400%. Pelaburan unit amanah pada tempoh lebih 10 tahun juga mampu membawa pulangan 100% – 400%. Begitu juga pelaburan dalam saham untuk tempoh 20 tahun boleh mencecah 4000%.

 

KESIMPULAN

1. Semua pelaburan ada turun dan naik. Pelaburan yang sentiasa naik sepanjang masa adalah SCAM atau biasanya tidak patuh syariah.

2. Semua pelaburan yang baik dibuat dalam jangkamasa panjang. Cuma kadar pulangannya je berbeza antara satu dengan yang lain.

3. Untuk memastikan pelaburan berhasil, tentukan tempoh dan kadar keuntungan yang dikehendaki. Bila sampai je sasaran, ambil keuntungan daripada pelaburan tersebut; termasuk modal (jika perlu).